Oleh `Izzat Anwari bin Hasni
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak
sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati
saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara
tersekat-sekat.
Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada
sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan
pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan
penampilannya.
“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fatimah mula sebak.
“Tak. Maksud saya – ”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.
“Awak
nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar
saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara
Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah
bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya
berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila
memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung
minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan
jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang
diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah
yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi.
Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang
membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di
hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit
sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri
dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke
arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah
terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah
terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri
seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri
melamarnya menjadi isteri kedua.
Fikri masih lagi aktif dalam
dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan
penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang
keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri
tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak
kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir
memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk
dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin
percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari
jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu
matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun,
Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri, sama ada dia menjadi
pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam
suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan
ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar
takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya
selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa
Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah
sama seperti Fatimah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah
merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri
berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan
yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada
Fatimah.
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.
“Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah
mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa
apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.
Setelah
seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa
Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih
menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti
mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin
dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah
juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau
penghalang dakwah suaminya.
“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.
Hatinya
berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak
kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana
usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan
isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah
Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Fikri
berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh
ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
“Perjuangan,” jawab Fikri.
***
“Katakanlah
(Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan
saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan
kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan
yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang
kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu
cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk
agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya
(azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik (derhaka).”[QS al-Taubah 9:24]
6 komen anda:
cerita yang best. saya rasa nk kongsi dgn gf saya cerita ni.
>MASA DAH Time
perempuan realitinya selpas brkahwin, mmg hdup bermadu..^_^
terima kasih sudi guna lukisan sy utk gambar hiasan
>aihaz
owh..lukisan yang kat bawah sekali tu ye..?nice drawing..sy minta izin ya,jika lepas2 nie sy gune awk pnyer lukisan..syukron..^_^
artikel yang menarik...nmpaknye istilah mencari isteri tiada lagi..tapi mencari isteri kedua...:)
>hamba Allah
mudah-mudahan hamba Allah berjumpa dgn isteri yg kedua yg boleh bermadu dgn "isteri pertama" tue..:)
Post a Comment